
Sebut saja Facebook atau FB, ianya bukan lagi istilah asing di bibir rakyat Malaysia terutamanya golongan belia. Daripada anak kecil sehinggalah pemimpin-pemimpin negara, masing-masing memanfaatkan media baru ini untuk tujuan tersendiri.
Laman sosial yang mempunyai lebih kurang 3.5 juta pengguna di Malaysia ini memulakan jaringan keahliannya terhad kepada pelajar Universiti Harvard sahaja. Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg, memulakan laman sosial ini ketika beliau belajar di Universiti Harvard. Menurut laporan Facebook dimulakan pada 4 Februari 2004.
Itu serba sedikit pasal Facebook.
Yang pasti laman sosial ini kini menarik minat ramai orang. Saya boleh dikatakan agak lambat menerokai laman ini. Itupun setelah suami saya memulakan eksplorasi untuk beberapa bulan terlebih awal pada 2009.
Ada orang pernah bertanya pada saya, "Eh ustazah pun ada Facebook?".
Dengan hairan saya menjawab, "Apa salahnya?".
"Tak lah...saya pernah baca satu e-mel pasal Facebook ni, ustazah. Katanya Facebook ni agenda Yahudi dan CIA. CIA kumpul data orang melalui Facebook. Bahaya kalau ustazah letak info macam-macam kat situ," panjang lebar penerangan orang itu.
"Saya tak pasti tentang itu. Saya tak pernah baca e-mel tu dan saya belum jumpa fakta sedemikian di mana-mana," jawab saya tanpa mahu menimbulkan apa-apa spekulasi. Lebih mudah berterus terang.
Setelah beberapa ketika menerokai media baru ini saya berpandangan bahawa Facebook mempunyai kebaikan yang tersendiri. Namun, ia juga mempunyai keburukan jika disalahgunakan.
Sama seperti internet. Jika dimanfaatkan untuk tujuan research & development (R&D) sudah tentu pelbagai maklumat baru ditemui. Namun jika disalahgunakan untuk melayari laman web lucah dan tidak bermoral bukankah mendatangkan keburukan kepada kita?
Sama juga seperti motosikal yang kita miliki. Jika ianya digunakan untuk pergi ke pejabat bagi mencari rezeki yang halal untuk keluarga, sudah tentu mendapat kebaikan dan ganjaran Allah. Tetapi, jika motosikal tersebut digunakan untuk merempit, tepuk dada tanya iman apakah natijahnya.
Dalam akhbar Kosmo semalam memaparkan ranking 5 tokoh Malaysia paling popular berdasarkan jumlah peminat di Facebook:
1. Tun Dr. Mahathir Mohamad - 232,205
2. Datuk Seri Najib Tun Razak - 94,942
3. Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - 72,710
4. Datuk Seri Anwar Ibrahim - 48,785
5. Lim Guan Eng - 23,337
Namun, dalam kes menyalahgunakan Facebook:
1. Ugutan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan (Aswara) dalam isu membakar gereja.
2. Ah Long mengugut mangsa penghutangnya melalui Facebook.
3. ...dan banyak lagi.

Menjelang 15 Februari 2010 bermakna kita telah melangkah ke bulan Rabiulawwal 1431H, bulan ketiga kalendar Islam. Bulan Rabiulawwal ini sebenarnya memberi signifikan yang tersendiri kerana pada bulan inilah Rasulullah berhijrah ke Madinah.
Di dalam buku Fiqh as-Sirah (oleh: Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthi), menyebut bahawa Rasulullah bersama Saiyidina Abu Bakar berangkat ke Gua Tsur pada 2 Rabiulawwal bertepatan 20 September 622M.
Kita selalu tersilap kerana sentiasa didedahkan dengan bulan Muharram sebagai bulan hijrah Rasulullah. Tetapi sebenarnya tidak. Muharram adalah bulan pertama di dalam kalendar Islam dan tahun pertama kalendar Islam disandarkan kepada tahun penghijrahan Nabi ke Madinah.
Banyak pengajaran penting yang boleh diambil daripada peristiwa hijrah di dalam melakukan perubahan ke atas diri sendiri:
1. Yakin dengan janji Allah selepas kita meletakkan sandaran sepenuhnya kepadaNya.
2. Jangan terpesona dengan 'comfort zone'.
3. Berani untuk melakukan perubahan ke atas diri.
4. Bila telah yakin dengan Allah, jangan terpengaruh dengan 'aura' negatif orang di sekeliling kita.
5. Laksanakan semua strategi yang dirancang untuk melakukan perubahan.
6. Sempurnakan perubahan yang ingin dilakukan!
Wallahua'lam.